PETALING JAYA – “Hari itu berendam sekali dengan sayur, kali ini basuh di longkang pula.”
Itu reaksi netizen selepas sekumpulan individu dipercayai warga asing mencuci sayur menggunakan air longkang.
Menerusi hantaran di TikTok, warga asing itu dilihat membersihkan sayur jenis sawi, sebelum rakannya menyusun sayur tersebut di lori.
“Dia cuci sayur pakai air longkang saja,” katanya pada ruang kapsyen.
Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi netizen termasuk rata-rata berharap insiden tersebut tidak berlaku di Malaysia.
“Kalau mahu bawa orang luar datang kerja sini, mesti ikut cara kita jangan buat cara negara mereka. Nanti seluruh Malaysia sakit perut pula,” komen @Queenlilydaisy8.
“Semoga kita semua berhati hati dan menjauhi kedai warga asing. Mereka tidak mementingkan kesihatan,” komen @Abahsenja62.
“Sekarang nak makan sayur dah tak yakin. Memang akan rendam air garam sebelum masak tapi bila tengok video macam ini memang tak selera nak makan sayur,” komen @Rosminahkahdirman. –KOSMO! ONLINE














