KUALA LUMPUR – UMNO memberi peringatan tegas agar mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan tidak melangkaui garis merah yang telah dipersetujui kerana parti itu tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam kerajaan jika perkara tersebut berlaku.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, penyertaan UMNO dalam kerajaan hari ini bukan bersifat mengikut telunjuk mana-mana pihak, sebaliknya demi memastikan negara diurus dengan baik serta kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Kita bersama dalam kerajaan bukan kerana mahu bergabung dengan sesiapa, tetapi kerana tanggungjawab untuk mengurus negara. Namun, jika garis merah dilangkaui, jangan ambil mudah kedudukan UMNO,” katanya ketika berucap pada Ucapan Penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO di sini.
Beliau berkata, dunia politik kini menuntut pendekatan yang lebih realistik dan dinamik, bukan sekadar bergantung kepada politik identiti semata-mata, apatah lagi ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
“Banyak parti besar dunia tumbang bukan kerana mereka gagal berpolitik, tetapi kerana gagal mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat. Apabila perut rakyat lapar, jasa lama tidak lagi dipandang,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun UMNO merupakan parti berpengalaman mengurus negara, kekuatan itu tidak bermakna jika kerajaan gagal berfungsi dengan baik.
Sehubungan itu, beliau mendakwa terdapat pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi bagi menaikkan kemarahan ahli UMNO dengan harapan parti tersebut bertindak secara emosi dan meninggalkan kerajaan.
“Jika UMNO keluar, maka berulanglah semula episod PH 1.0 apabila keputusan dibuat tanpa sebarang benteng yang membela kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak perlu takut kepada mana-mana parti politik.
“Kalau Melayu bersatu, British pun kita halau pada 1957. Setakat ini, kita tidak perlu gentar kepada sesiapa.
“Biarkan Pemuda bising dan melawan. Jika kaki dan tangan mereka diikat, UMNO sendiri akan rebah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














