SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersedia menilai lokasi lain bagi projek pemindahan ladang babi sekiranya terdapat keperluan susulan bantahan terhadap cadangan tapak di Bukit Tagar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini kerajaan negeri masih berpegang kepada keputusan menutup ladang tidak terurus dan menggantikannya dengan satu fasiliti moden yang lebih komprehensif serta terkawal.
Menurutnya, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim telah memberikan beberapa penerangan kenapa lokasi Bukit Tagar tersebut dipilih dan sebagainya.
“Setakat ini tiada (lokasi alternatif lain), kita akan kenal pasti dan nanti kita akan semak lokasi lain kalau ada keperluan.
“Tujuan utama kita ialah menutup ladang yang tidak terurus dan meletakkan satu sistem yang komprehensif. Kita sedia berbincang dan memberi penerangan supaya isu ini difahami berdasarkan data dan akta, bukan sentimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Adab dan Warisan Sendeng Nusantara di sini, hari ini.
Mengulas kebimbangan pencemaran, Amirudin menjelaskan kawasan Bukit Tagar sebelum ini merupakan tapak pelupusan sampah terbuka dan projek yang dicadangkan menggunakan konsep zero discharge tanpa sebarang pelepasan sisa ke sungai.
“Berkenaan dengan masalah pencemaran sebagainya, kita lihatlah sebab itu (Bukit Tagar) adalah tempat pelupusan sampah terbuka dan kalau ikutkan, itu juga mencemarkan.
“Kita tidak boleh lagi biarkan operasi lama berterusan seperti sekarang, selaras dengan titah Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah),” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keluasan 202 hektar yang dicadangkan, adalah merangkumi zon penampan bagi mengurangkan kesan bau, bunyi dan memastikan jarak selamat daripada kawasan awam.
“Kawasan operasi sebenar kecil. Yang 500 ekar (202 hektar) itu termasuk buffer.
“Manakala perincian teknologi akan diterangkan nanti. Ini disebabkan masih dalam peringkat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
“Kita harap proses itu dapat dipercepatkan kerana kita hendak alihkan yang di sana (Ladang di Tanjung Sepat dan Sepang) kalau tidak nanti tidak teralih dan beri kesan besar pelbagai kaum,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bantahan penduduk lebih 200 penduduk di kawasan Felda Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa serta penempatan di Bestari Jaya mengadakan perhimpunan aman membantah pembinaan ladang babi moden di Bukit Tagar.
Rata-rata penduduk lebih mengharapkan fasiliti kesihatan termasuk hospital yang lebih baik berbanding pembinaan ladang babi.
Malah, bantahan turut ditunjukkan lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menentang sekeras-kerasnya sebarang ternakan ladang babi di negeri ini termasuk di Bukit Tagar dengan menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini. – KOSMO! ONLINE














