JITRA – “Syafikah satu-satunya anak perempuan saya dan harapan keluarga. Sekarang dia sudah tiada akibat dirempuh van Siam, saya tuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pemandu itu.”
Demikian kata Wan Rosmiza Jamaluddin, 41, ibu kepada Allahyarham Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, yang maut akibat dirempuh sebuah van bernombor pendaftaran Thailand yang disyaki melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh, dekat sini malam tadi.
Menurutnya, dia sedih kerana anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia akibat kecederaan serius pada kepala dan anggota badan lain.
“Kecederaan yang dialami anak saya memang teruk terutama di kepala, tengkuk serta tangan patah dan luka-luka pada badan. Motosikal jenis skuter Modenas Karisma yang dia tunggang juga hancur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Beruas, Binjal, dekat Jitra hari ini.
Katanya, hatinya remuk melihat anaknya dirempuh van yang dipandu laju seperti dipaparkan dalam video tular di media sosial.
Ujarnya, dia masih bersedih dengan pemergian anaknya itu yang disifatkan sebagai seorang yang lemah lembut dan baik dengan semua orang.
“Arwah seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dengan bekerja di sebuah restoran di sini. Dua lagi adik lelakinya masih kecil iaitu masing-masing di tahun satu dan tahun enam,” katanya.
Menceritakan semula kejadian, katanya, kemalangan berlaku ketika anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan bersama rakan.
“Selepas balik kerja, dia keluar makan dengan rakan sebelum kemalangan berlaku. Rakannya kemudian menghubungi saya bertanyakan sama ada Syafikah sudah sampai di rumah kerana dia menghubunginya lebih 10 kali tetapi tidak dijawab.
“Tidak lama selepas itu, ada orang menghubungi suami memaklumkan anak kami terlibat kemalangan, namun tidak mengetahui bahawa dia sudah meninggal dunia.
“Suami bergegas ke lokasi dan mendapati Syafikah sudah tiada. Saya hanya pergi ke bilik mayat semasa bedah siasat dijalankan dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Beruas pada pukul 10 pagi tadi,” ujarnya.
Tambahnya, dia pernah melihat van Siam dipandu laju, namun tidak menyangka anaknya terlibat dalam kemalangan dengan pemandu van dari negara jiran itu.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah van Thailand yang disyaki melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, Fatin Nursyafikah, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan. – KOSMO! ONLINE














