PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelancaran dan penetapan harga tawaran sulung bagi Sukuk Boleh Tukar Bercagar bernilai AS$300 juta (RM1.218 bilion).
Ia diterbitkan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang diperbadankan di Labuan, iaitu Lunas Capital II Ltd., dengan Lunas Capital I Ltd., sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan sebagai pihak yang berkewajipan.
Sukuk Boleh Tukar tersebut merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka untuk memperkukuh kepelbagaian portfolio melalui pengumpulan hasil dalam mata wang asing bagi pelaburan dalam aset global, khususnya sukuk global.
Tawaran itu akan ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad (Saham Asas), sebuah syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur yang mempunyai operasi di seluruh Asia, Australia dan United Kingdom.
Hasil daripada tawaran ini akan diperuntukkan untuk pelaburan dalam aset sukuk global dengan gred pelaburan yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata,pihaknya terus melaksanakan inisiatif berwawasan dan inovatif bagi memastikan portfolio PNB kekal berdaya tahan dan relevan dalam landskap pelaburan yang semakin kompleks.
“Tawaran Sukuk Boleh Tukar ini membolehkan kami memanfaatkan nilai pegangan ekuiti domestik, mengurangkan risiko pertukaran asing, serta menyediakan kepelbagaian yang lebih besar selaras dengan Perumpukan Aset Strategik di bawah Pelan Strategik LEAP 6 kami.
“Secara keseluruhannya, langkah ini selaras dengan komitmen kami untuk mencapai prestasi secara berhemat, disokong oleh tadbir urus yang rapi dan pengurusan risiko yang mampan, seterusnya memastikan nilai jangka panjang bagi para pemegang unit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sukuk Boleh Tukar tersebut mempunyai tempoh matang selama lima tahun, dengan pilihan jual untuk pelabur yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun ketiga.
Kualiti kredit Sukuk Boleh Tukar ini dipertingkatkan melalui cagaran yang disediakan oleh Lunas Capital I Ltd. bagi pihak pemegang Sukuk Boleh Tukar, yang merangkumi Saham Asas serta aset sukuk global yang didenominasikan dalam dolar AS.
Kualiti kredit yang kukuh, dipadankan dengan asas yang mantap bagi Saham Asas, membolehkan Sukuk Boleh Tukar ini ditawarkan dengan kadar keuntungan yang menarik iaitu sifar peratus dengan premium pertukaran sebanyak 10 peratus.
Menurut PNB, tawaran tersebut menerima sambutan positif daripada komuniti pelabur berkaitan ekuiti, termasuk pelabur jangka panjang dan pelbagai strategi di seluruh Asia dan Eropah. – KOSMO! ONLINE














