fbpx
SEEKOR monyet berada di tempat duduk penonton di Kompleks Sukan Indira Gandhi yang menjadi venue Badminton Terbuka India Super 750 . – INSTAGRAM

Monyet, najis burung sambut pemain Terbuka India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Pemain badminton Denmark, Mia Blichfeldt dan Anders Antonsen mengetuai kritikan terhadap penganjur kejohanan Terbuka India selepas terpaksa berdepan dengan najis burung dan pencemaran melampau pada acara Super 750 itu, lapor sebuah laman berita semalam.

Blichfeldt menggesa penganjur kejohanan di New Delhi yang sedang berlangsung itu untuk melakukan yang lebih baik selepas dia menyaksikan burung-burung merosakkan gelanggang latihan.

“Apabila saya datang ke gelanggang latihan, terdapat burung-burung terbang dan membuang najis di atas gelanggang. Situasi ini tidak sihat untuk semua pemain. Ia tidak normal, tidak ramai atlet akan bermain dalam keadaan seperti ini.

“Ini adalah sukan profesional dan semua orang melakukan yang terbaik untuk bersedia. Tidak baik jika mereka jatuh sakit,” kata pemain perseorangan wanita Denmark itu.

Rakan senegaranya, Antonsen mengesahkan dia menarik diri untuk tahun ketiga berturut-turut disebabkan pencemaran melampau.

“Buat masa ini, saya tidak fikir ia adalah tempat untuk menganjurkan kejohanan badminton. Saya berharap ia akan menjadi lebih baik pada musim panas apabila Kejohanan Dunia berlangsung di (New) Delhi,” katanya di laman sosial.

Pemain perseorangan wanita Kanada, Michelle Li turut mempersoalkan persaingan dalam keadaan berbahaya.

“Patutkah atlet mengambil risiko terhadap kesihatan mereka untuk menghadiri kejohanan peringkat tertinggi apabila kualiti udara berbahaya?,” tanyanya. Indeks kualiti udara di New Delhi mencatatkan bacaan 348, iaitu berbahaya.

Selain najis burung, pemain dan pengunjung disambut dengan kelibat monyet-monyet dewasa yang berkeliaran di tempat duduk penonton di stadium tersebut.

Tiket untuk menyaksikan kejohanan di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu dijual pada harga 400 rupee (RM18).

“Adakah haiwan dibenarkan masuk secara percuma,” kata bekas juara beregu lelaki, Kang Min-hyuk di laman Instagram bersama gambar monyet tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN