KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum subuh di depan sebuah masjid di Pasir Hor dekat sini bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Fauzi Arifen, 37, hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyeludup tujuh migran warga Myanmar berusia 22 hingga 40 tahun di depan Masjid Tok Guru Haji Wan Ismail, Pasir Hor pada pukul 5.45 pagi, 21 Disember 2025.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi laporan status migran. – KOSMO! ONLINE














