MANCHESTER – Masa depan Andre Onana di Manchester United kembali ‘menyala’ selepas Ruben Amorim dipecat sebagai pengurus pasukan itu sekali gus terbuka untuk kembali ke Old Trafford pada musim depan.
Sebagai rekod, Onana yang menyertai United daripada Inter Milan menjadi penjaga gol utama The Red Devils sejak dua tahun lalu sebelum dia dipinjamkan selama semusim ke kelab Liga Turkiye, Trabzonspor pada Ogos lepas.
Keputusan itu dibuat oleh Amorim kerana menganggap corak permainan Onana tidak sesuai dengan falsafah bola sepak yang cuba diterapkan kerana penjaga gol Cameroon tersebut suka membuat hantaran berisiko tinggi.
Situasi itu menyaksikan United mengeluarkan dana besar untuk menandatangani penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens yang menjadi benteng terakhir No. 1 di Old Trafford pada kempen musim ini.
Perubahan barisan kejurulatihan menyaksikan Onana sedia melupakan persengketaan lepas dan mahu menambat hati pengurus baharu United musim depan memandangkan kontraknya masih berbaki hingga 2028.
Menurut sumber rapat dengan Onana, jika pengurus tetap baharu dilantik United menyukai corak dan taktikal pengawalan bola seperti Xavi Hernandez, kemungkinan besar Onana layak menjadi penjaga gol utama sangat cerah.
Buat masa ini, United telah memilih bekas pemain pasukan itu, Michael Carrick sebagai ketua jurulatih tetap sehingga penghujung musim nanti sebelum pengurusan tertinggi meneliti calon pengurus baharu pada Jun depan. – AGENSI














