fbpx
Penguat kuasa JPJ Negeri Selangor membuat pemeriksaan kenderaan muatan berat di Hentian Sebelah Subang (arah utara), Lebuh Raya Elite, hari ini. (Gambar kecil: Azrin). Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Kejar trip alasan popular pemandu degil ‘langgar’ waktu puncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Mahu ‘mengejar trip’ merupakan alasan paling popular yang digunakan pemandu kenderaan perdagangan yang melanggar perintah laluan terhad.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, berkata, tindakan pemandu ‘degil’ itu menjadi antara punca yang menjejaskan kelancaran trafik, khususnya pada waktu puncak.

“Walaupun kita beri amaran awal tentang waktu-waktu tertentu kenderaan barangan tidak boleh masuk di jalan-jalan tertentu, masih ada (pemandu) yang berdegil.
“Arahan itu ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang tinggi pada waktu puncak mulai pukul 6.30 hingga 9.30 pagi dan  4.30 petang hingga 7.30 malam,” katanya pada sidang akhbar Operasi Khas Waktu Laluan Terhad Kenderaan Berat, di Hentian Sebelah Subang (arah utara), hari ini.

Sepanjang 2025, JPJ Negeri Selangor mengeluarkan sebanyak 2,712 notis ketidakpatuhan terhadap larangan tersebut.

Menurut Azrin, antara laluan utama yang terlibat dalam pelaksanaan perintah laluan terhad ialah Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Baru Lembah Klang, Jalan Templer ke Jalan Kuching dan Jalan Sungai Buaya.

“Penguatkuasaan terhadap kesalahan melanggar larangan pergerakan ini dilaksanakan di bawah Subseksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) oleh pegawai pengangkutan jalan, pegawai polis atau warden trafik.

“Mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda RM300 hingga RM2,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI