LIPIS – Belum pun reda kes ketukan misteri lembaga bercahaya yang menghantui penduduk Kampung Relong di sini, kini muncul pula kejadian ‘lembaga’ bermotosikal yang berpakaian serba hitam muncul di kampung itu tepat pukul 12 tengah malam kelmarin.
Penduduk kampung, Sahli Husni Ahmad, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang duduk di hadapan rumah sebelum sebuah motosikal tiba-tiba memasuki kawasan rumahnya.
“Saya menyuluh lampu ke arah penunggang motosikal berkenaan kerana menyangka individu tersebut adalah penduduk kampung yang sedang melakukan rondaan keselamatan.
“Bila saya suluh, dia terus berpatah balik dan memecut laju. Dia bawa motosikal berwarna biru, berpakaian serba hitam dan membawa sebuah beg di belakang,” katanya di sini semalam.
Sahli berkata, susulan kejadian itu dia menghubungi penduduk kampung yang sedang menjalankan rondaan bagi memaklumkan mengenai pergerakan mencurigakan itu sebelum tiga penduduk terlibat rondaan bertindak mengejarnya dengan menaiki sebuah kereta.
“Motosikal itu bergerak menghala ke arah Lipis sebelum membuat pusingan U di Kampung Bapong dan kemudian memecut laju ke arah Merapoh.
“Dia menunggang dalam laju dan mencurigakan, sekali gus menguatkan kebimbangan penduduk yang sebelum ini dikejutkan dengan kejadian ketukan pintu misteri di beberapa buah rumah,” ujarnya.
Tambahnya, susulan kejadian itu, penduduk kampung kini mempertingkatkan rondaan keselamatan dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lanjut sekali gus menamatkan kebimbangan penduduk.
Kosmo! semalam melaporkan tidur malam kira-kira 800 penduduk Kampung Relong di sini tidak lagi lena selepas pintu beberapa rumah dikatakan diketuk lembaga bercahaya berwarna putih sejak 5 Januari lalu hingga menimbulkan keresahan kepada mereka.














