fbpx
Sebuah premis di mukim Sungai Laka, dekat Bukit Kayu Hitam diserbu kerana disyaki menyeleweng diesel, semalam.

100,013 liter diesel gagal masuk Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Kegiatan sebuah premis di mukim Sungai Laka, dekat sini menyeleweng diesel disyaki untuk diseludup ke Thailand tumpas apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah, semalam.

Dalam serbuan Op Taring Landai kira-kira pukul 7.30 pagi itu, seramai empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Thailand dicekup.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh Unit Risikan Marin PPM Wilayah Satu Kuala Kedah dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

“Hasil maklumat risikan dan serbuan yang dijalankan, pasukan operasi mengesan aktiviti pemindahan diesel secara tidak sah daripada beberapa skid tank ke dalam lori treler bernombor pendaftaran Thailand.

“Dalam operasi ini, seramai empat lelaki ditahan terdiri daripada tiga warganegara Thailand dan seorang warganegara tempatan berumur antara 26 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah berkaitan pemilikan dan pemindahan diesel.

“Antara yang dirampas dalam operasi itu ialah tiga lori treler, sembilan skid tank yang mengandungi anggaran 100,013 liter diesel serta tiga unit mesin pam minyak bermeter dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.094 juta,” ujarnya.

Nilai rampasan diesel dalam operasi tersebut dianggarkan RM335,043.55.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kubang Pasu untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI