fbpx
Viu Malaysia melancarkan siri tempatan pertama mereka di bawah jenama Viu Originals berjudul Kelas Belakang.

Budak ‘Kelas Belakang’ tak bodoh, mereka kuat semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMBUKA tirai 2026, perkhidmatan penstriman over-the-top (OTT), Viu Malaysia melancarkan siri tempatan pertama mereka di bawah jenama Viu Originals berjudul Kelas Belakang.

Mula ditayangkan 8 Januari lalu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat, siri 12 episod ini mengangkat realiti pelajar yang ditempatkan di kelas paling tercorot yang sering dipinggirkan dan dinilai berdasarkan label semata-mata.

Dalam sistem pendidikan yang menilai pelajar hanya berdasarkan gred, pelajar Kelas 5 Fikir sering dianggap sebagai golongan yang tidak mempunyai harapan, malas, malah ada yang dianggap berbahaya.

Segalanya berubah apabila Iman Kirana (Amylia Aidura), pelajar terbaik sekolah tersebut menawarkan diri untuk menjadi tutor mereka demi mendapatkan biasiswa universiti yang berprestij.

Demikian antara sinopsis Kelas Belakang yang kini mula mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton.

Realiti masyarakat

Menurut Pengarah Kreatif Viu Malaysia, Steven Lim, Kelas Belakang merupakan naskhah yang sangat dekat dengan realiti masyarakat.

“Label Viu Originals tidak mengubah misi kami untuk menceritakan kisah yang sangat baik dan melambangkan pendekatan baharu.

“Cerita ini tentang masyarakat iaitu sangat relevan dan susunannya juga biasa kita lihat.

“Kami mahu penonton berasa dekat dengan watak-watak ini. Pendekatan penceritaan kami adalah untuk memberikan pengalaman yang tidak dijangka kepada penonton,” katanya kepada HibGlam pada sidang media drama tersebut baru-baru ini.

Mengulas soal penggunaan bahasa, Steven menegaskan pertuturan yang digunakan masih ‘selamat’ dan bersesuaian dengan penonton.

“Meskipun drama ini tentang budak sekolah tetapi bukan eksklusif untuk mereka yang bawah umur 21 tahun sahaja. Ini adalah cerita rakyat tentang perjuangan budak-budak ini.

“Ini bukan sekadar rancangan untuk budak-budak dan mengenai bahasa, itu adalah keputusan kami.

“Kami tidaklah sengaja mencari kontroversi tapi kami tahu jika kami memberikan versi yang terlalu bersih, penonton tidak akan berasa dekat dengan cerita.

“Hakikatnya, pelajar di sekolah, mereka bercakap lebih teruk lagi. Kami rasa bahasa dalam siri ini masih okey,” tambahnya lagi.

Menerusi Kelas Belakang, Viu kali ini mempertaruhkan beberapa wajah baharu seperti Amylia Aidura, Zairi Aziz, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina.

Steven menyifatkan pemilihan pelakon tersebut sebagai keputusan tepat meskipun tanpa kehadiran nama besar sebagai watak utama.

“Ada juga yang bertanya sama ada Viu tidak kisah tentang jumlah pengikut atau pelakon ‘A-lister’ yang mempunyai nama besar.

“Saya bukannya kata itu tidak penting, tapi untuk cerita seperti ini kami rasa keaslian adalah lebih penting.

“Saya sangat bangga dengan budak-budak ini, mereka masih muda dan kami membuat pilihan yang tepat,” ujarnya lagi.

Kekeluargaan, persahabatan

Senada dengan pendapat itu, pengarah Nurhanisham Muhammad berkata, barisan pelakon dipilih kerana kesesuaian mereka dengan watak, bukan semata-mata populariti.

“Saya nak ucapkan terima kasih dan menghormati Viu, bukan tentang pilih artis tapi kami memilih mereka yang layak dan boleh membawa watak tersebut.

“Maksudnya, kalau selalunya kita tengok muka yang sama dan popular tapi Viu ambil satu langkah berbeza,” jelasnya.

Ujar Nurhanisham atau lebih mesra disapa Labu, drama terbitan Independent Pictures itu sarat dengan nilai persahabatan dan kekeluargaan.

“Dari segi cerita, ada banyak tentang persahabatan, bagaimana Iman menyelesaikan misinya, isu kekeluargaan dan watak Mirza juga ada isu dengan bapanya yang akan keluar dalam episod kedua.

“Kekuatan cerita ini adalah keluarga dan latar belakang watak-watak ini. Walaupun orang kata mereka budak kelas belakang yang bodoh tetapi mereka tidak begitu.

“Maksudnya, kemahuan mereka untuk terus hidup dan sokongan daripada kawan-kawan serta keluarga akan membuatkan kita jadi lebih kuat. Itulah moral bagi cerita ini,” tutupnya. – 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI