PETALING JAYA – Bermula sekadar idea ‘melepak’ ketika berbual di sebuah kafe, empat sekawan tampil berfikir di luar kotak dengan menawarkan servis menyimpan barangan pengunjung konsert hingga mampu meraih kira-kira RM800 dalam satu malam.
Menurut Nor Azralia Ramlee, 31, idea itu tercetus selepas melihat ramai pengunjung konsert berdepan kesukaran menyimpan barangan terutamanya apabila penganjur meletakkan syarat tertentu seperti larangan membawa makanan, minuman, beg besar dan lain-lain.
“Kawan saya pula memang suka pergi konsert. Masa kami borak di kafe, dia cerita pengalaman pergi konsert dan macam-macam. Jadi kami fikir, daripada lepak saja baik buat sesuatu yang orang perlukan.
“Di situlah tercetusnya idea nak buat servis ini sejak Mei tahun lepas. Sambil melepak sambil menjaga barang orang. Paling tinggi kami pernah dapat hampir RM800 semalam, iaitu di konsert Twice dan Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Tambah Nor Azralia, untuk konsert Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 10 Januari lepas, dia dan kawan-kawan telah mendapat tempahan 40 peratus untuk menjaga beg seminggu sebelum konsert berlangsung.
Kata Nor Azralia yang bekerja sebagai jurudata, meskipun setiap lokasi konsert sememangnya menyediakan tempat penyimpanan, namun ramai pengunjung kehilangan barang kerana tiada tempat selamat untuk simpan.
Untuk servis penyimpanan barang, Nor Azralia dan rakan-rakan mengenakan caj serendah RM5 bagi item paling kecil, manakala barangan paling besar dicaj sekitar RM15 hingga RM20.

Ditanya mengenai keselamatan item yang dijaga, Nor Azralia yang berasal dari ibu negara itu berkata setakat ini tiada masalah barangan hilang atau bertukar pemilik.
“Setiap kali barang dihantar untuk kami jaga, kami akan minta isikan maklumat kemudian beri slip nombor pada pemilik sebelum nombor tersebut dilabelkan pada barangan pengunjung.
“Kami juga catatkan nombor dalam Excel untuk memastikan barangan tidak bertukar pemilik,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Azralia turut menyediakan ‘freebies’ sebagai hadiah percuma kepada pelanggan sebagai penghargaan, selain mengekalkan hubungan baik dengan pengunjung yang berulang kali menggunakan servis mereka.
Dia turut menasihati golongan muda supaya terus berusaha mencari rezeki dengan apa jua cara yang halal, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi menuntut semua orang untuk lebih kreatif dan berdaya saing.
“Saya selalu pesan pada kawan-kawan, apa pun yang kita buat jangan pernah putus asa. Ada hasil kemudian hari. Kadang-kadang memang ada rasa nak putus asa, tapi bila kita sabar dan konsisten, Allah bagi jalan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














