SKUAD hoki lelaki negara menjadikan Siri Jelajah Perth, Australia sebagai pentas berintensiti tinggi untuk menilai kesiapsiagaan sebenar pemain menjelang Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac depan.
Program jelajah yang berlangsung dari 13 hingga 25 Januari itu bukan sekadar perlawanan persahabatan, sebaliknya menjadi medan saringan terbuka buat 22 pemain yang dibawa, dalam usaha merebut tempat ke Mesir apabila hanya 20 nama akan disenaraikan dalam skuad akhir.
Speedy Tigers dijadual mengharungi lima perlawanan berintensiti tinggi, termasuk tiga aksi menentang Thundersticks pada 16, 17 dan 22 Januari serta dua pertemuan menentang pasukan kebangsaan Australia pada 20 dan 24 Januari.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata peluang beraksi menentang Australia dan Thundersticks memberi ruang terbaik buat pemain menyesuaikan diri dengan tempo, fizikal dan tekanan permainan di tahap lebih tinggi.
Beliau menegaskan, jelajah itu turut digunakan untuk menguji keseimbangan skuad dengan gabungan pemain senior dan muda, selain menilai aspek disiplin, kefahaman taktikal serta konsistensi prestasi.
“Siri jelajah ini saya menggabungkan pemain senior dan pemain remaja di mana tiga daripada enam pemain yang dipanggil menjalani latihan, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami.
“Gabungan ini penting untuk memastikan keseimbangan pasukan selain memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman di peringkat senior.
“Fokus kami pada jelajah ini juga adalah untuk melihat tahap disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi sepanjang siri jelajah,” jelasnya yang mengharapkan pemain dapat mengekalkan perancangan pasukan dengan baik walaupun berada dalam situasi mencabar.
Malaysia yang berada dalam kumpulan B pada saingan kelayakan nanti bakal berdepan cabaran sengit daripada China, Pakistan dan Austria, sekali gus menjadikan jelajah Australia sebagai persiapan kritikal sebelum turun ke medan sebenar.
Sarjit turut memaklumkan, kesemua 22 pemain yang dibawa ke Perth masih memiliki peluang sama rata untuk berada dalam senarai akhir, namun mereka perlu membuktikan keupayaan beraksi di bawah tekanan. KOSMO! ONLINE














