PETALING JAYA – Sunway Bhd. mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh semua saham biasa dalam IJM Corporation Berhad (IJM) pada harga tawaran RM3.15 sesaham, dengan jumlah pertimbangan RM11 bilion.
Sebanyak 10 peratus daripada jumlah pertimbangan tersebut akan diselesaikan secara tunai manakala 90 peratus lagi melalui penerbitan baharu saham biasa Sunway, pada harga RM5.65 setiap saham.
Sebagai contoh, bagi lot 1,000 unit saham IJM, pemegang saham akan menerima RM315 secara tunai dan kira-kira RM2,835 dalam bentuk 501 unit saham Sunway.
Secara keseluruhan, pertimbangan tersebut akan diselesaikan secara tunai sebanyak RM1.1 bilion dan penerbitan saham baharu Sunway bernilai RM9.9 bilion. Pertimbangan tunai akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan hutang dan dana yang dijana secara dalaman.
Harga tawaran itu mewakili premium 14.55 peratus kepada harga penutupan terakhir IJM, iaitu RM2.75 sesaham. Sunway dan IJM mengumumkan dagangan saham masing-masing digantung bermula pukul 9 pagi tadi.
Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Anuar Taib berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan global ke arah ASEAN.
Jelasnya, pembaharuan institusi untuk meningkatkan daya saing negara, bersama-sama dengan penubuhan zon ekonomi khas, terus memperkukuh keyakinan perniagaan dan menarik pelaburan asing dan domestik.
“Cadangan pelaksanaan korporat ini adalah tepat pada masanya dan strategik untuk membuka sinergi dan penciptaan nilai yang melangkaui Kumpulan, juga untuk negara.
“Sebagai sebuah organisasi yang dipacu tujuan dan komited terhadap pembinaan negara, usaha ini akan membina sebuah ‘Juara Nasional’ dalam sektor penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan dan industri, meningkatkan skala serta keupayaan Kumpulan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sekiranya Sunway mencapai penerimaan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada saham IJM, ia berhasrat untuk melaksanakan hak pemerolehan wajib untuk memperoleh baki saham dan meneruskan penyahsenaraian IJM daripada Bursa Malaysia.
Gabungan kedua-dua syarikat bakal mewujudkan syarikat ke-8 terbesar di Bursa Malaysia dari segi permodalan pasaran pada RM47.7 bilion. Sunway kini syarikat ke-11 terbesar di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM37.9 bilion.
Tawaran itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026. – KOSMO! ONLINE














