KUALA LUMPUR – Risiko rasuah dalam institusi kehakiman adalah amat rendah dan sukar berlaku, walaupun kemungkinan insiden berlaku adalah terpencil.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, bagi mempengaruhi keputusan sesuatu kes sehingga ke peringkat tertinggi, ia bukan melibatkan seorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ramai pihak dalam hierarki kehakiman.
“Kalau seseorang mahu menang sesuatu kes melalui rasuah, dia perlu merasuahkan ramai orang, bukan seorang. Dia perlu merasuah hakim Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Rayuan dan juga hakim Mahkamah Persekutuan.
“Persoalannya, adakah seseorang itu mampu merasuahkan semua pihak ini?” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid berkata, disebabkan struktur dan lapisan semakan dalam sistem kehakiman, kebarangkalian berlakunya rasuah adalah rendah dan sekiranya berlaku, ia boleh dikesan dan dinafikan melalui proses undang-undang sedia ada.
Beliau turut merujuk pengalaman peribadinya sebagai hakim, apabila pernah mengendalikan satu kes melibatkan seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen yang disabitkan kesalahan dan dihukum kerana rasuah.
Namun demikian, beliau berkata, kes sedemikian adalah jarang berlaku dan bersifat terpencil.
“Kita tahu perkara ini hampir mustahil untuk berlaku secara meluas. Walaupun ia boleh berlaku, tetapi ia sangat jarang dan terpencil,” katanya. – KOSMO! ONLINE














