KUANTAN – Terperdaya dengan janji keuntungan sehingga 500 peratus menyebabkan seorang doktor berputih mata apabila wang simpanan dan pinjaman peribadi berjumlah RM888,000 lesap selepas dia terjebak dalam satu skim pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 18 September lalu selepas mangsa yang berusia 44 tahun diperdaya suspek melalui iklan pelaburan saham di laman Facebook.
Katanya, mangsa kemudiannya berurusan melalui aplikasi WhatsApp selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp oleh suspek.
“Suspek telah menawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 18 peratus hingga 22 peratus serta keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham yang ditawarkan dapat dicapai.
“Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli pelaburan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bermula dari 8 November 2025 hingga 7 Januari 2026, mangsa melakukan 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM888,000.
Katanya, mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal menerima sebarang pulangan seterusnya seperti yang dijanjikan.
Jelasnya, mangsa kemudiannya menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan, pinjaman peribadi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera serta Tabung Haji.
Sementara itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Selain itu, orang awam dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya.














