MELAKA – Kerajaan Melaka menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan had tempoh jawatan kepimpinan perlu dikaji secara terperinci kerana perubahan dasar politik memerlukan tempoh yang panjang untuk diterapkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sesuatu dasar biasanya mengambil sekurang‑kurangnya lima tahun untuk berkuat kuasa dan kajian menyeluruh perlu dilakukan supaya ia tidak bergantung kepada tempoh awal atau penggal tertentu.
“Saya melihat bahawa dalam kita nak membina sebuah negara bangsa ini, (tempoh) dua penggal ini perlu diteliti kerana perubahan satu dasar politik mengambil masa lima tahun.
“Jadi orang (pemimpin) nak sesuaikan cara kepimpinan lagi lima tahun, nak dapat lagi lima tahun. Saya rasa memerlukan satu kajian yang terperinci dan lebih tinggi supaya segala keputusan dan asas-asas dasar yang dibuat tidak tergantung pada pemimpin yang akan mewarisinya. Pemimpin baru ada pula cara baru, dibuat dulu tak selesai lagi maka apa nak jadi?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan hari pertama persekolahan dan penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Kling, hari ini.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas diminta mengulas berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
Langkah itu bertujuan memastikan kepimpinan negara tidak tertumpu pada satu individu terlalu lama dan memberi peluang kepada pemimpin baharu.
Pada Mac 2019, Dewan Undangan Negeri Melaka turut meluluskan usul mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal.
Ketua Menteri ke-11 ketika itu, Adly Zahari, yang membentangkan usul berkata, cadangan tersebut bertujuan menerapkan amalan tadbir urus yang baik dan telus dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik untuk memegang jawatan berkenaan kelak.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, apa-apa keputusan berkaitan had tempoh jawatan kepimpinan di Melaka tetap akan dibuat mengikut keputusan Parlimen dan negeri tidak semestinya terikat kepada amalan kepimpinan sebelum ini.
Tambah beliau, kestabilan dasar penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri serta mengelakkan perubahan hala tuju setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.
Terdahulu, seramai 161,000 murid di seluruh sekolah di Melaka memulakan sesi persekolahan tahun 2026 bermula hari ini, melibatkan 239 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM akan menyalurkan BAP sebanyak RM150 kepada lebih 155,000 murid di seluruh Negeri Melaka, melibatkan murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM23.31 juta.














