PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui agak terkilan apabila tidak ramai wakil negara yang melangkah jauh pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berakhir semalam.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengharapkan lebih ramai pemain Malaysia yang beraksi pada hari-hari terakhir saingan apabila hanya beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke perlawanan akhir.
Justeru, beliau menyerahkan perkara itu kepada pengarah prestasi bagi melakukan analisis mengenai apa yang berlaku sepanjang kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu apabila ramai kecundang di peringkat awal.
“Seperti saya sebut, masih awal untuk membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Apa yang boleh rumuskan adalah penganjuran kejohanan dibuat dengan baik dan tanpa ada sebarang masalah.
“Dari segi prestasi pemain, sudah tentu kita mengharapkan lebih ramai pemain yang melayakkan diri ke peringkat akhir seperti separuh akhir dan pentas final. Bagaimanapun, kita ada satu wakil menerusi beregu lelaki.
“Kami agak kecewa kerana ada antara mereka tidak dapat meneruskan kemaraan ke suku akhir ataupun separuh akhir tetapi saya serahkan kepada pengarah prestasi untuk bercakap mengenai perkara ini,” katanya.
Pada kejohanan pembuka tirai 2026 itu, hanya satu wakil negara berjaya melepasi peringkat suku akhir menerusi Aaron-Wooi Yik yang seterusnya mara ke final.
Sementara itu, Zafrul turut memberitahu, badan induk berkenaan akan lebih telus berhubung kontrak pemain, termasuk mendedahkan pembayaran gaji kepada pemain dengan perkara itu bakal dibincangkan bersama Ahli Majlis BAM.
“Saya belum berbincang lagi dengan Ahli Majlis berhubung ketelusan. Memang itu satu perkara yang akan diputuskan nanti dan kita setuju akan lebih telus berhubung kontrak untuk masa depan,” ujarnya.














