NEW DELHI – Seekor gajah yang mengamuk telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang ketika konflik antara manusia dengan haiwan semakin meningkat di timur India, lapor portal berita Independent semalam.
Pihak berkuasa di negeri Jharkhand memaklumkan, seekor gajah jantan dewasa telah melakukan sekurang-kurangnya 12 serangan dalam tempoh tujuh hari di sekitar kawasan hutan Saranda.
Gajah itu membunuh 13 orang dalam tempoh dua hari termasuk empat ahli sebuah keluarga, dalam serangan berasingan di daerah West Singhbhum.
Pegawai Hutan Chaibasa, Aditya Narayan berkata, gajah tersebut bergerak secara ganas di seluruh kawasan itu sejak beberapa hari lalu dan sering menukar lokasi dengan pantas sekali gus menyukarkan usaha menjejakinya.
“Gajah itu nampaknya menjadi ganas dan tumpuan kami sekarang adalah untuk menenangkannya secepat mungkin. Kami yakin ia sedang berada dalam keadaan ‘musth’.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal keadaan,” kata Aditya seperti dipetik oleh akhbar Times of India.
‘Musth’ adalah keadaan di mana terdapat peningkatan sifat agresif dan lonjakan hormon pembiakan gajah.
Ketua Pemulihara Hutan Wilayah di Jharkhand, Smita Pankaj memberitahu akhbar tersebut bahawa corak serangan gajah itu kekal konsisten.
“Gajah itu menjadi ganas selepas waktu gelap, menyerang rumah dan penduduk kampung.
“Ia bergerak dengan amat pantas dan kerap menukar lokasi, menyebabkan pasukan kami sering terlepas jejak. Namun, pada waktu siang, ia hampir tidak kelihatan kerana bersembunyi jauh di dalam hutan,” katanya. – AGENSI














