fbpx
Sultan Sharafuddin.

Sultan Selangor cadang wakil rakyat menetap sebelah ladang babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi ternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar.

Baginda bertitah, perkara itu dipandang serius apabila wujud kemungkinan pembangunan ternakan berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah kira-kira 202 hektar.

“Secara prinsipnya, beta akur dengan kewujudan ternakan babi berskala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan sumber makanan masyarakat bukan Islam.

“Namun, pembangunan berskala besar disifatkan tidak wajar dengan realiti demografi Selangor yang majoritinya penduduk Melayu Islam,” titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah petang ini.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan berikutan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan masalah ternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

“Penduduk menanggung kesan negatif seperti bau busuk, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang tidak berkesudahan sehingga menjejaskan kualiti hidup serta kesihatan awam.

“Istana Pantai Bahagia (kediaman baginda) juga terletak di Kuala Langat dan beta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau berpunca aktiviti ternakan babi di kawasan itu,” titah baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin turut mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat menetap bersebelahan kawasan ternakan babi seperti di Kuala Langat bagi menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti dialami penduduk setempat.

Baginda menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran akan menjadi lebih buruk.

“Beta turut mempersoalkan sama ada projek itu melibatkan kepentingan pihak tertentu dan mungkin wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus.

“Beta tidak menolak sepenuhnya cadangan projek itu namun kajian pasaran perlu diteliti agar pembangunan ekonomi tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI