JAKARTA – Sebuah lubang di Cirebon, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian pengguna media sosial kerana dikatakan boleh menembusi laluan ke kota suci Mekah, lapor portal Berita Satu semalam.
Lubang berdiameter kira-kira 50 sentimeter itu terletak di Makam Sunan Gunung Jati.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @sunarto91683 menunjukkan seorang lelaki sedang memberitahu kepada pengunjung bahawa lubang tersebut mengandungi terowong ke Mekah.
Seorang penduduk, Dedi Oded Aditama Riyadi menyifatkan dakwaan itu sebagai karut kerana tidak memiliki bukti kukuh dalam kajian saintifik atau sejarah.
“Jika lubang itu boleh menembusi ke Mekah, saya fikir ia adalah karut. Kita tidak sepatutnya menyesatkan orang ramai untuk mempercayai perkara yang tidak dapat disahkan,” kata Dedi hari ini.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.8 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Lubang itu tembus Mekah belah mana?” kata seorang netizen. – AGENSI














