fbpx
TANG JIE (belakang) dan Ee Wei akur terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

Juara dunia serah kepada jurulatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGALA perancangan dibuat barisan kejurulatihan berhubung kejohanan-kejohanan yang akan disertai sepanjang saingan musim ini akan diikuti sepenuhnya beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Selepas mengharungi jadual cukup padat musim lalu, gandingan juara dunia itu dijangka memilih kejohanan-kejohanan tertentu sepanjang kempen 2026 bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Bagaimanapun, Tang Jie memberitahu, mereka hanya mengikut segala perancangan dibuat jurulatih selain menjelaskan, dia dan Ee Wei tidak ada kuasa untuk menentukan kejohanan yang akan disertai.

“Kami hanya mengikut (keputusan) jurulatih, kebiasaannya memang seperti itu dan kami tidak boleh kawal. Itu semua ditetapkan jurulatih melainkan kami benar-benar mengalami kecederaan atau tidak boleh bermain.

“Sekiranya jurulatih mahu kami bermain, kami akan pergi dan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan tersebut,” katanya yang terpaksa akur gagal melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia.

Kelmarin, Tang Jie-Ee Wei gagal mengulangi pencapaian musim lalu apabila langkah mereka tersekat di suku akhir selepas tewas 17-21, 21-17, 10-21 kepada beregu berpengalaman dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Kekalahan itu menyebabkan mereka tidak dapat memulakan saingan musim baharu dengan langkah kanan, terutamanya selepas mereka mengharungi kempen 2025 penuh cemerlang termasuk menjadi juara dunia serta memenangi Terbuka Australia.

Selepas ini, Tang Jie-Ee Wei yang juga beregu No. 4 dunia akan menggalas misi pada Terbuka India di New Delhi bermula Selasa ini dan dijadualkan bertemu pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi.

“Kalau nak cakap pasal kecewa, sudah tentu kami kecewa tetapi inilah sukan, ada menang dan kalah. Selepas ini kami akan bermain di Terbuka India dan sedia memberikan yang terbaik juga di sana,” ujar Ee Wei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI