fbpx
NSFC (jersi kuning) terpaksa akur gagal mengutip satu mata apabila tewas di penghujung perlawanan kepada JDT. - NSFC

‘Kami tidak boleh kawal pengadil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MUNGKIN masa pada jam tangan masing-masing berlainan.”

Demikian antara reaksi pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil selepas tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

Selain kemampuan NSFC memberikan cabaran kepada Harimau Selatan, kualiti pengadil, S. Logeswaran menjadi topik utama di kalangan peminat kerana jaringan Manuel Hidalgo terhasil pada minit ke-98, melebihi tempoh tujuh minit masa tambahan diberikan.

Bagaimanapun, Nidzam membayangkan tiada guna berbincang mengenai pengadil bertugas, sebaliknya mahu pemainnya sendiri belajar sesuatu daripada perlawanan besar seperti itu untuk menjadi ‘budak besar’ dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

“Saya tidak pegang wisel. Saya tidak pasti mengapa tujuh minit menjadi lapan, sembilan atau 10 minit. Mungkin masa pada jam tangan masing-masing berlainan, namun kami kena kekal positif. Isunya bukan minit ke-9, 10 atau 12, isunya adalah kami kena kekal fokus.

“Kami tidak boleh kawal pengadil atau suasana tetapi cara bermain dan bagaimana mahu menamatkan perlawanan dengan satu mata. Pahit tetapi ini pengajaran yang baik daripada JDT, dari segi komitmen, saya tiada isu, cuma ralat sedikit,” katanya.

Nidzam juga merasakan faktor keletihan mungkin menjadi faktor kehilangan fokus pemain hingga membenarkan JDT memperoleh gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.

“Ia disebabkan kepenatan dan cara kami bermain pada separuh masa pertama. Kualiti yang ada pada lawan, Syahmi (Safari) keluar, Feroz (Baharudin) masuk dan kemasukan pemain import berkualiti tinggi.

“Kualiti mereka kekalkan sepanjang 90 minit membuatkan kami bergelut untuk mengikut tempo. Kami berjaya mengawal sehingga minit ke-96 atau 97, tetapi serangan terakhir… itulah bola sepak. Kami kena belajar perkara itu daripada kelab-kelab besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN