fbpx
AKSI beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia, Sabar Karyawan Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Terbuka Malaysia : Aaron-Wooi Yik tak tertekan jadi wakil tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tidak sedikit pun berasa tertekan, sebaliknya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersedia menggalas tugas selaku ‘penyelamat’ maruah tuan rumah apabila menjadi satu-satunya wakil negara melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2026.

Pasangan nombor satu negara itu mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahan menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-10 dalam aksi yang berlangsung selama 34 minit di Axiata Arena, hari ini.

Menurut Wooi Yik, status sebagai wakil tunggal negara tidak menggusarkan mereka, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus konsisten untuk melakar keputusan terbaik di laman sendiri.

“Saya rasa walaupun hanya tinggal kami sekarang, tiada tekanan. Kami hanya perlu kekal fokus dan melaksanakan tugas kami sebagai pemain senior dalam pasukan.

“Kami gembira dengan permainan hari ini tetapi mahu kekal konsisten. Apa yang penting adalah jalankan tugas kami dan berharap esok kemenangan akan memihak kepada kami,” katanya.

Kemenangan itu lebih manis apabila ia menamatkan rentetan kekalahan kepada lawan dari Indonesia itu dalam tiga pertemuan terdahulu.

Bagi Aaron, sokongan padu penyokong di Axiata Arena menjadi nadi kebangkitan mereka, selain pendekatan untuk tidak memikirkan rekod lampau.

“Terima kasih kepada penyokong. Sorakan mereka pada set pertama memberi keyakinan luar biasa buat kami.

“Memandangkan ini kejohanan pertama tahun ini dan kekalahan lalu berlaku tahun lepas, kami anggap semuanya bermula dari kosong-kosong. Masuk gelanggang tadi, kami langsung tidak fikir pasal rekod pertemuan,” jelas Aaron.

Ujian sebenar menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir esok apabila dijadual bertemu satu lagi pasangan handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri esok.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Aaron mengakui ia bukan tugas mudah namun bertekad memperbaiki pencapaian terbaik mereka di kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

“Kita kena buat persiapan sebab Fajar dan Shohibul Fikri bukan lawan mudah. Kami baru bertemu mereka dua minggu lepas, jadi esok kami perlu bersedia dengan lebih rapi.

“Apapun, kami harap dapat perbaiki rekod di sini (final), tetapi kami ambil langkah demi langkah. Fokus dan berjuang habis-habisan,” katanya.

Kali terakhir beregu lelaki negara menjulang gelaran Terbuka Malaysia adalah pada edisi 2014 menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI