PETALING JAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam yang berpecah kerana perbezaan pendekatan politik perlu kembali bersatu.
Menurut beliau, perbezaan politik khususnya melibatkan perlembagaan Pas dengan perlembagaan UMNO bukan perbezaan aqidah dan ideologi.
“Malangnya, perbezaan pendekatan (politik) dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan UMNO yang terlanjur menganggap Pas lebih bahaya daripada DAP.
“Lalu mendakap DAP dan meninggalkan Pas kerana faktor sampingan dan jawatan. Inilah satu pendekatan yang salah daripada segi agama kita,” dakwanya menerusi catatan Minda Presiden Pas hari ini.
Abdul Hadi mendakwa, DAP menjadikan penyertaan UMNO bersama mereka untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik dalam Kabinet.
Beliau berkata, ketegangan antara Pas, UMNO, Bersatu dan beberapa kumpulan termasuk kumpulan bukan Islam pada masa ini tidak sama dengan kezaliman yang berlaku terhadap Rasulullah SAW.
“Rasulullah SAW berjuang membebaskan bangsanya daripada kefahaman jahiliah yang lebih diutamakan daripada menentang penjajahan asing ketika sebahagian daripada Semenanjung Arab dijajah oleh Empayar Parsi dan Rom.
“Walaupun dalam keadaan penjajah asing ditentang juga, membebaskan diri daripada kejahilan didahulukan supaya bangsanya dapat disatukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














