TAMPIN – Sepasang suami isteri tidak menyangka sate ayam yang dijual dengan harga 50 sen mendapat sambutan hingga ke Kajang, Selangor walaupun baru setahun menceburi bidang perniagaan itu di sini.
Amirorazam Abu Hassan, 47, dan Norzita Mohamad, 47, pada asalnya berniaga kuih-muih mula menjual sate selepas melihat rakannya memulakan perniagaan itu di kawasan lain.
Kata Amirorazam, setiap hari dia boleh menjual 1,000 cucuk sate ayam dan 1,000 sate daging dengan kos bahan mentah sekitar RM200 hingga RM500.
“Sate daging saya jual 80 sen, setiap hari saya buat siaran langsung di media sosial tidak sangka sampai ada pelanggan dari Kajang datang beli sebab harganya 50 sen secucuk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Gerai Satay Yaya, di Felda Gugusan Jelai, di sini, semalam.
Jelas Norzita pula, untung berniaga sate itu tidaklah terlalu banyak tetapi mereka sudah bersedia kerana berniat berniaga sambil bersedekah.
“Semasa perayaan yang lalu juga kita berjaya menerima hampir 50,000 cucuk tempahan sate dan mendapat keuntungan yang akan kita gunakan untuk membuat pusingan modal,” jelasnya.
Bagaimanapun jelasnya, ada juga pelanggan yang bimbang dia tidak mendapat untung kerana sate yang dijual saiznya seolah-olah berharga RM1, namun dia tidak sampai hati mengecilkan saiz hidangan berkenaan.
“Saya harap sate kami ni akan terus mendapat sambutan memandangkan jualannya ini lah untuk menampung keperluan harian kami lima sekeluarga,” katanya.














