PETALING JAYA – Seorang anggota polis trafik menahan seorang pemandu warga emas selepas memandu secara perlahan di lorong tengah, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, anggota polis berkenaan dilihat menegur pemandu terbabit mengenai lorong yang sepatutnya digunakan ketika memandu perlahan demi keselamatan pengguna jalan raya lain.
Video berdurasi 1 minit 18 saat itu memaparkan anggota polis trafik itu menegur dengan merendahkan suara dan memohon maaf sambil menjelaskan bahawa teguran dibuat kerana menjalankan tugas dan tanggungjawab.
“Memberikan teguran kepada pemandu lanjut usia tentang pemanduan yang benar dan lorong yang patut digunakan sekiranya memandu perlahan.
“Maafkan saya. Saya hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya pada ruang kapsyen.
Perkongsian tersebut meraih perhatian netizen dengan rata-rata pengguna memuji cara teguran anggota polis trafik berkenaan dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Akhirnya tahun 2026 baru nampak polis tahan ‘lane hogger’ sebab nak tegur. Buat lagi video begini biar ‘spesies’ ini faham bahasa sikit,” komen Ahmad Fadhil.
“Terbaiklah pihak berkuasa. Contoh yang baik dan sopan untuk menegur kesalahan pemandu dalam perjalanan ke lokasi. Untuk keselamatan pemandu yang lain,” komen Suraya.
“Terima kasih dan tabik pad anggota polis trafik. Bukan terus menghukum, tapi sekadar teguran itu sudah cukup,” komen Mustaffa Johari. – KOSMO! ONLINE














