NEW DELHI – Seorang pemimpin politik di India menawarkan ganjaran 100,000 rupee (RM4,515) kepada sesiapa yang berjaya memotong lidah bintang Bollywood, Shah Rukh Khan, lapor portal berita The CSR Journal.
Kenyataan itu dibuat Presiden Daerah All India Hindu Mahasabha, Meera Rathore di bandar Mathur, negeri Uttar Pradesh, baru-baru ini.
Meera turut menghitamkan poster Shah Rukh Khan dan memukulnya dengan selipar sebagai tanda bantahan terhadap keganasan yang berlaku ke atas penganut Hindu di Bangladesh.
“Dia (Shah Rukh Khan) membeli seorang pemain kriket dari negara itu (Bangladesh) untuk pasukannya.
“Hari ini (baru-baru ini), saya menyapu wajahnya dengan dakwat dan memukulnya (poster) dengan selipar. Kami tidak akan mendiamkan diri jika perkara sama berlaku kepada saudara-saudara kami.
Kontroversi berpunca daripada tindakan Shah Rukh Khan membeli pemain import dari Bangladesh untuk menyertai pasukan kriket miliknya.
“Kami menawarkan ganjaran 100,000 rupee kepada sesiapa yang memotong lidah Shah Rukh Khan dan membawanya kepada kami,” kata Meera.
Terdahulu, penceramah serta pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Sangeet Som melabelkan pelakon itu sebagai pengkhianat.
“Pemain kriket dibeli oleh Liga Perdana India (IPL). Pengkhianat itu telah membeli pemain kriket dari Bangladesh pada harga 900,000 rupee (RM40,595). Dia tidak berhak tinggal di negara ini,” kata Sangeet. – AGENSI














