BACHOK – Masalah kesihatan dan hal peribadi dikenal pasti menjadi alasan paling tinggi yang diberikan jemaah berbanding isu kewangan sehingga terpaksa menangguhkan urusan untuk ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, faktor berkenaan mengatasi isu kewangan yang sebelum ini menjadi alasan utama penangguhan jemaah untuk menunaikan haji.
“Hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Tabung Haji, peratusan jemaah yang menangguhkan tawaran menunaikan haji pada tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu yang merekodkan hampir 50 peratus.
“Masalah kesihatan dan hal peribadi merupakan alasan paling tinggi yang diberikan jemaah haji berbanding isu kewangan. Secara keseluruhannya, peratusan jemaah yang menangguhkan ibadah haji berkurangan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, rayuan haji masih dibuka sehingga bulan Ramadan dan kerajaan komited untuk memastikan jemaah yang membuat penangguhan akan diganti dengan jemaah lain.
Katanya, penggantian itu bagi memastikan kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi dimanfaatkan sebaik mungkin.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji 2026 berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota sebanyak 31,600 jemaah pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE














