KANGAR – Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menuntut supaya pengumuman kekosongan luar jangka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Bintong dan Chuping terbatal dan tidak sah.
Saman pemula tersebut difailkan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) dengan diwakili peguam Mohd. Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
Mereka menamakan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua.
Tiga bekas wakil rakyat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai ADUN yang dipilih bagi tiga DUN tersebut, mereka menghormati pandangan Speaker.
“Namun kami dengan rendah diri berpendapat pandangan tersebut adalah terkhilaf kerana telah bertindak di luar bidang tugas yang diperuntukkan.
“Oleh itu, kami telah memfailkan saman pemula ke atas Speaker DUN Perlis sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua demi menuntut keadilan daripada pihak mahkamah,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan berkenaan dilakukan demi kebajikan dan kepentingan rakyat yang bakal tidak mempunyai wakil rakyat untuk tempoh dua tahun bagi membela nasib mereka sebelum pilihan raya negeri semula diadakan.
“Kami menuntut pengumuman yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif serta relif atau perintah lain oleh mahkamah yang mulia,” ujarnya.
Kosmo! pada 25 Disember lalu melaporkan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memutuskan berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Beliau pada masa sama menyatakan akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan di tiga DUN berkenaan.
Ia susulan ketetapan yang dibuat oleh Pas bahawa keahlian tiga ADUN Perlis sebagai ahli parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Walau bagaimanapun, Rus’sele pada Rabu lalu memaklumkan menarik balik pemakluman mengenai keperluan pilihan raya semula yang dibuat sebelum ini melalui proviso Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa termasuk jaminan komitmen Pas untuk terus bersama kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN). – KOSMO! ONLINE














