LONDON – Pengkritik bola sepak England, Jamie Carragher menggesa Arsenal membuat keputusan berani dengan menyisihkan Viktor Gyokeres dalam kesebelasan utama menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth di Stadium Vitality awal pagi esok.
Menurut Carragher, pengurus The Gunners, Mikel Arteta perlu segera membuat keputusan besar kerana pasukan memiliki dua penyerang yang lebih berkualiti, Gabriel Jesus dan Kai Havertz untuk memacu jentera serangan nanti.
Tambahnya, Arteta tidak sepatutnya mengekalkan khidmat Gyokeres yang gagal memberi impak diharapkan sejak beberapa perlawanan lepas.
“Saya rasa Gyokeres tidak sepatutnya berada dalam kesebelasan utama Arsenal apabila mereka mempunyai pemain seperti Jesus dan Havertz.
“Mungkin dalam beberapa perlawanan lagi, apabila Jesus mendapat kecergasan penuh, saya yakin dia boleh jadi pemain yang lebih baik daripada Gyokeres di atas padang dan ini adalah fakta,” katanya.
Sementara itu, Arteta menegaskan pasukan kekal fokus untuk memburu tiga mata penting ketika bertemu The Cherries sekali gus terus melebarkan kedudukan selaku pendahulu EPL musim ini.
“Saya gembira pemain masih lagi memiliki keyakinan dan tahap intensiti yang tinggi walaupun kita beraksi setiap tiga hari dengan jadual yang padat. Masih banyak perlawanan yang perlu kita harungi dan saya harap mereka terus bersedia,” katanya.
Mengulas lanjut, Arteta turut mengesahkan pemain tengah, Declan Rice hampir pasti disisihkan pada perlawanan di Stadium Vitality nanti. – AGENSI














