HULU SELANGOR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengakui masih berdepan kesukaran mengenal pasti jumlah sebenar rakyat yang hidup tanpa dokumen pengenalan diri kerana tiada rekod khusus direkodkan dalam sistem agensi itu.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, kebanyakan kes hanya dikesan menerusi laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pendedahan di media termasuk media sosial dan bukan melalui saluran pendaftaran rasmi.
Menurutnya, situasi itu menunjukkan masih wujud kelompok masyarakat yang tercicir, terutama di kawasan bandar selain kebimbangan lebih besar di negeri-negeri di Sabah dan Sarawak.
“Minggu lalu ketika berada di Kota Bharu, saya sendiri melihat masih ada kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri lengkap.
“Terima kasih kepada rakan media yang membantu mengetengahkan isu ini supaya mereka yang layak tidak terus terbiar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kad pengenalan daftar lewat kepada tujuh beradik di Sungai Buaya, hari ini.
Jelasnya, antara punca utama berlakunya masalah tersebut ialah kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah, menyebabkan proses pendaftaran kelahiran anak-anak turut terjejas.
“Apabila perkahwinan tidak didaftarkan, ia akan menimbulkan kesan besar kepada anak-anak pada masa hadapan. Jadi saya berharap rakyat memastikan urusan perkahwinan dibuat secara sah,” ujarnya.
Badrul Hisham memaklumkan, sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran manakala sejumlah 4,497 daftar lewat kad pengenalan direkodkan sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, ini menunjukkan isu berkenaan masih membimbangkan walaupun pelbagai usaha turun padang telah dilaksanakan hampir sedekad.
“Ini bukan hanya peranan JPN, tetapi memerlukan kerjasama media dan NGO bagi meningkatkan kesedaran masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














