PETALING JAYA – AHB Group syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Perak, mahu merealisasikan impian orang ramai yang mahu membina rumah atas tanah milik sendiri dengan rasa lebih selamat, terancang dan bermaruah.
Pengasas syarikat, Mohd. Hawarie Tan Muzi berkata, bagi projek rumah yang dibangunkan, syarikat memfokuskan kepada konsep reka dan bina secara menyeluruh.
Antara projek yang dilaksanakan melibatkan rumah berkembar dan juga banglo setingkat serta dua tingkat mengikut bajet dan keperluan pelanggan.
“AHB Group dikenali dengan pendekatan ‘Realisasikan Impian’ yang menekankan kepentingan rekaan berkualiti sebagai asas kepada rumah yang selesa dan bernilai tinggi.
“Antara projek yang mencerminkan pendekatan ini adalah pembangunan rumah konsep Indoor Zen Garden di Tanjung Malim yang menggabungkan elemen pencahayaan semula jadi, susun atur moden dan ruang dalaman yang menenangkan,” katanya dalam sesi temu bual di sini kelmarin.

Mohd. Hawarie menerangkan, pihaknya juga sentiasa menekankan perancangan kos yang terkawal, reka bentuk praktikal dan pengurusan projek yang sistematik, khusus untuk pemilik tanah persendirian.
Jelasnya, buat masa ini, syarikat memberi keutamaan kepada projek pembinaan kediaman di negeri Perak dengan merujuk kepada lokasi berpotensi lain berdasarkan permintaan dan kesesuaian tapak.
“Sehingga kini, jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek-projek aktif dan dalam perancangan AHB Group adalah sekitar jutaan ringgit, melibatkan pembinaan rumah atas tanah milik pelanggan serta beberapa projek pembangunan berskala kecil.
“Jadi bagi tahun 2026, kami bercadang untuk meningkatkan jumlah projek pembinaan rumah atas tanah sendiri, memperkemas sistem operasi dan pengurusan kos serta mahu mengembangkan portfolio kepada projek pembangunan hartanah berskala kecil secara berfasa, bergantung kepada kelulusan dan kesiapan pasaran,” jelasnya.
Menyentuh tentang bank tanah, Mohd. Hawarie menerangkan, pihaknya tidak memiliki bank tanah berskala besar seperti pemaju lain sebaliknya menggunakan pendekatan asset-light, iaitu membangunkan projek di atas tanah milik pelanggan dan tanah rakan strategik bagi mengurangkan risiko kewangan serta memastikan kelestarian aliran tunai. -KOSMO! ONLINE














