PETALING JAYA – Inflasi sederhana, pasaran buruh yang kukuh serta prestasi stabil sektor utama terus mengekalkan momentum positif ekonomi Malaysia sehingga Oktober 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2025 memaklumkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan kumulatif sebanyak 4.7 peratus bagi tiga suku pertama tahun ini.
Prestasi itu bagaimanapun menyederhana berbanding 5.2 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, sejajar dengan persekitaran ekonomi global yang masih tidak menentu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Menurut beliau, sektor Perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, manakala sektor Pembinaan terus mencatat pertumbuhan yang kukuh.
“Sektor Pembuatan pula berkembang secara sederhana, manakala sektor Pertanian serta Perlombongan dan Pengkuarian menunjukkan prestasi bercampur dipengaruhi keadaan cuaca dan perubahan harga komoditi.
“Dari perspektif harga, inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025 sebelum meningkat sedikit kepada 1.4 peratus pada November,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, keadaan itu mencerminkan tekanan harga yang terkawal serta membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah dan kestabilan ekonomi domestik. – KOSMO! ONLINE














