BERLIN – Segerombolan perompak memecah masuk ke dalam sebuah bank di Jerman menggunakan gerudi untuk melarikan wang tunai dan barang berharga yang dianggarkan bernilai €30 juta (RM142.7 juta), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Jurucakap Polis Gelsenkirchen menyamakan rompakan itu seperti filem Ocean’s Eleven dan memberitahu agensi berita AFP bahawa ia dilakukan dengan cekap.
Lebih 3,000 peti deposit keselamatan yang mengandungi wang, emas dan barang kemas dipecahkan di bank simpanan Sparkasse, bandar Gelsenkirchen.
“Kecurian itu terbongkar selepas sistem penggera kebakaran berbunyi pada awal pagi Isnin. Tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Mereka menggunakan peluang pada Hari Natal yang sunyi untuk melancarkan rompakan,” kata jurucakap tersebut.
Rakaman video kejadian menunjukkan kumpulan pencuri itu melarikan diri melalui garaj di De-La-Chevallerie-Strasse dengan menaiki kereta jenis Audi RS 6 berwarna hitam pada awal pagi Isnin.
Polis turut menemui lubang yang membawa ke bilik penyimpanan peti besi bawah tanah selepas menggeledah bangunan tersebut.
Bank Sparkasse dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 95 peratus peti deposit keselamatan yang menempatkan simpanan pelanggan telah dipecahkan. – AGENSI














