fbpx
Hashim.

Hentikan tohmahan, kembali kepada penyatuan ummah – Mursyidul Am Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menyeru semua pihak menghentikan budaya tohmahan, tuduh-menuduh dan sengketa politik yang dilihat semakin membarah, sebaliknya kembali kepada agenda kesatuan serta penyatuan ummah demi kestabilan negara.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, suasana politik tanah air ketika ini semakin panas dengan pelbagai polemik yang dibimbangi menjauhkan masyarakat daripada adab sopan serta akhlak Islamiah.

Menurut beliau, budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak membawa sebarang manfaat kepada agama, bangsa dan negara, sebaliknya hanya melebarkan jurang perpecahan serta menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.

“Islam mengajar kita supaya bersangka baik (husnuzon) dan menyiasat setiap berita (tabayyun) sebelum menyebarkannya. Al-Quran juga jelas melarang perbuatan saling mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Hashim menegaskan semua naratif bersifat fitnah dan serangan peribadi yang memecahbelahkan masyarakat perlu dihentikan segera.

Beliau turut menyeru kepimpinan politik dan rakyat agar kembali memberi tumpuan kepada agenda penyatuan ummah dengan mencari titik persamaan demi kestabilan negara.

Menurutnya, tenaga dan masa sewajarnya digembleng untuk menyelesaikan isu kos sara hidup, ekonomi dan kedaulatan negara, bukannya dihabiskan dengan pertelagahan sesama sendiri.

“Kita perlu berlapang dada, membuang ego dan mengamalkan politik matang serta sejahtera. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi asbab permusuhan sehingga memutuskan silaturahim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong Pas khususnya serta umat Islam amnya agar menjadi contoh tauladan dalam mempamerkan kematangan berpolitik dengan mengekalkan fokus kepada gerak kerja dakwah dan kebajikan.

Hashim berkata, sebarang provokasi yang tidak berkesudahan perlu dielakkan demi menjaga keharmonian masyarakat dan negara.

“Semoga Allah SWT melembutkan hati-hati kita untuk bersatu padu dan memelihara negara ini daripada kemudaratan akibat perpecahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI