fbpx
JDT perlu terus meraih keputusan positif dalam saingan ACLE musim ini bagi mendapatkan lebih banyak mata sekali gus menjamin slot automatik musim berikutnya.

Slot automatik ACLE berdepan ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JUARA Liga Super musim depan berpotensi untuk ‘berputih mata’ terlepas slot automatik beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) edisi 2027/2028 andai kedudukan dalam MA ranking Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berjaya dipintas Vietnam.

Berdasarkan carta semasa di laman Footy Rankings, Malaysia ketika ini masih berada di kedudukan keenam di belakang Jepun, Korea Selatan, Thailand, China dan Australia selepas mengutip 39.934 mata.

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia tidak selamat apabila diekori rapat oleh negara seteru, Vietnam yang berada di kedudukan ketujuh selepas mengutip 38.020 mata pada tahun ini dengan perbezaan hanya 1.914 mata.

Posisi enam negara terbaik rantau Asia cukup penting buat Malaysia kerana ia adalah kelayakan minimum untuk meraih slot automatik ke saingan ACLE kerana kedudukan ketujuh hanya memberikan dua slot ke kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Kini, segalanya bergantung dengan keupayaan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi baki saingan ACLE musim ini dalam misi menambah pungutan mata sekali gus mengekalkan posisi Malaysia di ranking keenam.

Situasi ini disebabkan hanya JDT menjadi wakil tunggal negara selepas Selangor FC tidak lagi mampu menyumbang mata penting apabila terkandas seawal peringkat kumpulan saingan ACL2 apabila merekodkan lima kekalahan musim ini.

Namun, skuad kendalian Xisco Munoz itu berdepan cabaran sukar untuk melangkah ke pusingan kalah mati ACLE kerana bakal menentang dua kelab gergasi Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe pada baki peringkat liga ACLE pada Februari depan.

Vietnam pula masih lagi memiliki satu wakil dalam saingan ACL2 apabila Cong An Hanoi berjaya lolos ke peringkat kalah mati dengan saingan berlangsung pada awal tahun depan.

Status juara Liga Super untuk layak saingan ACLE musim 2026/2027 tidak terjejas memandangkan slot automatik sudah diberikan berdasarkan ranking MA musim lepas.

Justeru, jika JDT berjaya menepati ramalan menang juara Liga Super musim ini, mereka akan layak secara automatik sekali gus mengekalkan momentum bersaing di kejohanan berprestij itu buat musim ketujuh berturut-turut sejak 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN