WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan maut terhadap kumpulan-kumpulan militan di barat laut Nigeria.
Beliau juga berikrar akan melancarkan lebih banyak serangan jika kumpulan-kumpulan tersebut terus membunuh penganut Kristian.
Tanpa memberikan butiran lanjut, Trump berkata, “Jabatan Perang telah melaksanakan banyak serangan sempurna pada Hari Krismas terhadap sasaran IS (Daesh).
“Saya telah memberi amaran kepada ‘pengganas’ ini bahawa jika mereka tidak menghentikan pembunuhan terhadap penganut Kristian, mereka akan menerima balasan yang amat dahsyat dan malam ini, ia berlaku,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
“Selamat Hari Krismas kepada semua, termasuk pengganas yang telah meninggal dunia dan akan ada lebih ramai lagi sekiranya pembunuhan terhadap penganut Kristian berterusan,” tambahnya.
Pusat Perintah Afrika AS berkata dalam hantaran di laman X bahawa pihaknya telah melancarkan serangan atas permintaan kerajaan Nigeria yang mengorbankan sejumlah anggota Daesh
Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth turut memuat naik hantaran di laman X memuji kesediaan Jabatan Perang melaksanakan tindakan di Nigeria dan berkata, beliau berterima kasih atas sokongan serta kerjasama kerajaan Nigeria.
Serangan tersebut merupakan yang pertama dilakukan oleh tentera AS di Nigeria di bawah pentadbiran Trump.
Ia berlaku selepas pemimpin Republikan itu mengkritik Nigeria pada Oktober dan November lalu. – AFP














