fbpx
MUHAMMAD NAZMI (lima dari kiri) bersama penduduk dalam satu program di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil baru-baru ini.

‘Sudah biasa orang panggil tok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jika dahulu, jawatan ketua kampung sinonim dengan orang lama yang sudah berusia, namun kini semakin ramai anak muda diberi kepercayaan menerajui pentadbiran kampung dengan suntikan tenaga baharu dan idea segar.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan itu seawal usia 30-an dan sudah digelar ‘tok’ oleh penduduk setempat, meskipun usia masih muda.

Di Dengkil, seorang anak muda, Muhammad Nazmi Abdul Razak dilantik menjadi Ketua Kampung Jenderam Hilir pada tahun lalu ke­tika usianya 34 tahun.

Katanya, walaupun panggilan ‘tok’ kedengaran janggal pada awal­nya, namun gelaran itu kini su­dah sebati dalam diri selepas sering disuarakan penduduk.

“Sebelum ini ada juga rasa janggal dan kelakar apabila ada orang lebih tua memanggil saya tok, malah ada juga yang mencium tangan saya ketika bersa­lam.

“Ketika ditawarkan jawatan ke­tua kampung pada 2024, pada awalnya saya tolak, namun selepas berbincang selama sebulan, saya sedia berkhidmat untuk masyarakat,” katanya kepada Kos­mo!.

Menurutnya, pada awal peng­liba­tan, beliau turut berdepan ke­­sukaran termasuk kurang men­­da­­pat kepercayaan daripada go­­lo­ngan lebih tua disebabkan fak­tor umur.

“Setelah saya membuktikan ke­mampuan dengan beberapa pe­rubahan dilaksanakan di kampung serta pelbagai program dianjurkan, mereka mula mene­rima,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menguruskan masalah di kam­pung, beliau berkata, pelbagai hal perlu diselesaikan seperti isu jalan rosak, kutipan sampah dan infrastruktur.

“Semua masalah itu saya cuba selesaikan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kesejahte­raan penduduk terjaga dan terus mendapat sokongan mereka,” ka­tanya.

MOHAMAD HALIF (tengah) mengadakan mesyuarat JPKK Kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, Pontian baru-baru ini.

Di Pontian, Ketua Kampung Ka­wasan (6) Mukim Rimba Terjun, Mohamad Halif Kamaruddin, 36, berkata, beliau mengisi jawatan itu pada Januari 2021 ke­tika usia 31 tahun selepas tiada pihak yang berminat untuk menjadi ketua kampung.

Be­liau berkelulusan Ijazah Sar­­jana Muda dalam Bidang Pe­nga­jian Kepenggunaan dari Universiti Putra Malaysia dan Sarja­na Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia me­nyifatkan pendidikan tinggi hanya sebagai nilai tambah dan keyakinan diri.

“Pada mulanya memang hada­pi masalah untuk mengurus 13,000 penduduk di kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, melibat­kan sebuah Kampung Induk, li­ma Kampung Rangkaian dan 11 Ta­man Perumahan.

“Setelah empat tahun, sa­ya ma­kin selesa dengan tugas wa­lau­pun menerima elaun RM1,200 sebulan berbanding ke­lu­lusan tinggi yang dimiliki,” katanya.

Menurutnya, tugas akan menjadi lebih mudah apabila menge­tahui saluran mana yang patut dituju dalam setiap masalah.

Katanya, penguasaan teknologi maklumat juga memberikan ke­lebihan kepada orang muda ke­rana semua laporan dari Pejabat Daerah memerlukan maklum balas segera.

MUHAMMAD JAILANI

Di Seremban, Muhammad Jai­lani Ahmad Zawawi mencuri per­hatian apabila dilantik Ketua Kampung Batang Benar pada usia 36 tahun, menjadikannya an­tara ketua kampung termuda di Negeri Sembilan.

Memasuki penggal kedua sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung, Jailani berkata, pelantikan generasi muda adalah strategi kepimpinan negeri untuk memperkasa pentadbiran kampung.

Beliau mengakui wujud sedikit keraguan pada awal pelantikan, namun penerimaan masyarakat semakin baik selepas beliau turun padang secara konsisten serta menggerakkan program gaya hidup sihat dan aktiviti belia.

Jailani turut memimpin pasukan penggali kubur Masjid As-Siddiqin, peranan yang dilaksa­nakan sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Awalnya agak janggal juga apabila dipanggil ‘tok’, tapi tanggungjawab itu perlu ditunaikan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN