fbpx
AGATHA sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila meneruskan dominasinya di pentas Sukan SEA kali ini. - ATLETA FILIPINA

Sukan SEA: Agatha buktikan dominasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Dominasi ratu wusyu Filipina, Agatha Wong terus berlanjutan di pentas Sukan SEA apabila mempertahankan gelaran acara taijiquan-taijijian wanita bagi meraih emas keenam peribadi pada edisi Thailand 2025.

Atlet berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga dan penuh ketelitian dalam rutin pedang untuk mengumpul keseluruhan 19.556 mata di Rattha Prasasan Bhakdi Building, sekali gus memastikan lagu kebangsaan Filipina berkumandang.

Agatha sebelum itu meletakkan asas kukuh menerusi persembahan taijiquan dengan 9.773 mata sebelum menutup saingan taijijian dengan 9.783 mata bagi menewaskan pencabar terdekatnya.

Kejayaan tersebut meneruskan penguasaannya sejak edisi 2017, sekali gus menjadikan Sukan SEA kali ini medan keenam berturut-turut buatnya menaiki podium tertinggi dalam acara sama.

Mengakui perjalanan musim ini amat mencabar, Agatha berkata, kejayaan itu amat bermakna memandangkan dia perlu membahagikan masa antara latihan intensif dan pengajian perubatan.

“Ini adalah tahun paling sukar buat saya. Saya hanya cuba lakukan yang terbaik kerana peluang mewakili negara tidak datang setiap hari dan menamatkan tahun ini dengan emas benar-benar menggembirakan,” katanya.

Meskipun sarat dengan pengalaman, Agatha tidak menafikan tekanan dan rasa bimbang sentiasa hadir setiap kali menyertai temasya dwitahunan itu.

“Setiap kali saya datang ke Sukan SEA, saya rasa seperti akan tewas. Saya sangat takut ketika tiba di Bangkok, tetapi latihan keras dan kepercayaan pada diri sendiri membawa saya kembali sebagai juara,” ujarnya.

Emas itu menjadi suntikan moral penting buat kontinjen Filipina yang lama menanti kejayaan emas dalam beberapa hari kebelakangan ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kutipan pingat negara itu di Bangkok. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI