PUTRAJAYA – Perbicaraan kes amang seksual penyanyi Naim Daniel yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditangguhkan ke bulan Mac dan April tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd. Irwan Sumadi yang mewakili Naim Daniel ketika dihubungi yang mana tarikh-tarikh baharu itu ialah pada 31 Mac serta 1 hingga 3 April 2026.
“Kes bicara (hari ini) telah dilapangkan oleh mahkamah. Tarikh bicara baru adalah 31 Mac dan 1 hingga 3 April 2026,” kata peguam itu.
Sebelum ini, lada prosiding lalu, Mahkamah Sesyen telah menetapkan selama tiga hari iaitu 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut yang mana Mahkamah Sesyen membenarkan saksi dalam kes itu memberikan keterangan menerusi pautan video.
Sebelum ini pihak pembelaan menyeru supaya mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian dalam kes yang dihadapi anak guam mereka.
Mohd. Irwan berkata beliau percaya menerusi sistem kehakiman yang sedia ada ia akan memberi ruang yang adil kepada semua.
Pada 17 Jun lalu, Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Bagaimanapun Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin M.Kunasundary dalam prosiding secara tertutup.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dam tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE














