fbpx
Kumpulan Serkap 4 RRD merampas dadah bernilai lebih RM10 juta di Kuala Nerang, Kedah semalam.

Tentera Darat tumpaskan cubaan seludup dadah lebih RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Kumpulan Serbuan dan Tangkapan (Serkap) 4 Rejimen Renjer DiRaja (RRD) berjaya menyekat penyeludupan dadah dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM10.9 juta, di Kuala Nerang, Kedah semalam.

Rampasan itu dilakukan ketika Kumpulan Serkap 4 RRD sedang melaksanakan operasi KOTA/B/C/D dan Pagar II Siri 6/2025, Zon Utara di bawah Kawasan Tanggungjawab Briged ke-6 Infantri Malaysia.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia berkata, kejayaan itu merupakan jumlah terbesar rampasan barangan seludup sepanjang tahun ini.
Menurutnya, operasi sekitar pukul 4.30 pagi itu diketuai oleh Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota dari Platun 6 4 RRD.

“Kumpulan Serkap telah menahan seorang orang awam iaitu lelaki warga Thailand yang dalam keadaan mencurigakan di lokasi 1.2 kilometer dari Kem Sahara, Kuala Nerang Kedah.

“Pemeriksaan terhadap lelaki tersebut menjumpai beberapa peralatan iaitu sebuah walkie talkie, sebilah parang, satu beg pinggang dan lampu suluh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan penahanan tersebut, pemeriksaan lanjutan telah dilaksanakan pada pukul 7 pagi dengan menggeledah sepanjang laluan yang dilalui suspek.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati terdapat sembilan guni mengandungi bungkusan bungkusan kecil seperti peket beras.

“Hasil siasatan lanjut mendapati bungkusan tersebut berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine sebanyak 331 bungkus dengan berat satu kilogram, bernilai RM33,000 bagi setiap peket.

“Setelah semua prosedur diambil, suspek berserta barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap pukul 2.55 petang hari yang sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Serkap 4 RRD di atas kejayaan berkenaan.

Beliau turut mengarahkan agar pasukan meningkatkan tahap kesiagaan serta mempergiatkan aktiviti rondaan secara berterusan di semua kawasan sepanjang sempadan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN