fbpx
Suasana Kolam 1, UPM berjaya himpunkan hampir 500 peserta.

Patin 8.6kg juara Jaguh Joran UPM 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTANDINGAN yang berlangsung di Kolam Memancing Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi membuktikan bahawa minat terhadap hobi mengilat bukan sekadar untuk mengisi masa lapang.

Edisi kali ini, nama seorang anak muda dari Petaling Jaya, Selangor diangkat sebagai juara. Aiman Arif Mohd. Nazri, 25, yang bekerja sebagai penghantar makanan (p-hailing) hanya hadir dengan niat mencuba nasib.

Namun siapa sangka, dengan umpan paling ringkas iaitu roti kosong, rezekinya berada tepat di laluan. Seekor patin berskala 8.6 kilogram (kg) menjadi saksi kepada sentuhan tenang dan kecekalan anak muda ini.

Sorakan peserta lain mengiringi detik Aiman menghela nafas lega ketika ikan itu selamat didaratkan. Gelaran juara pun menjadi miliknya, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

“Syukur alhamdulillah, rezeki hari ini. Saya akan gunakan wang kemenangan ini untuk belanja keluarga,” ujar Aiman yang masih belum hilang penat sisa pertarungan dengan sang patin.

Namun, kemenangan Aiman bukan hadir tanpa cabaran. Pertandingan kali ini menyaksikan saingan sengit daripada ramai peserta berpengalaman.

Di tempat kedua, Mohd. Zam Shaharani, 65, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur yang memberi tentangan hebat apabila berjaya menaikkan patin seberat 8.5kg, hanya berbeza beberapa gram daripada juara. Dia membawa pulang RM1,000 sebagai ganjaran.

Noor Mohamad Shakil Hameed (tiga dari kiri) bersama para pemenang Jaguh Joran UPM-Utusan Malaysia.

Tempat ketiga pula milik Muhammad Izrat Zuhari, 23, dari Banting dengan tangkapan patin 7.9kg , sekali gus meraih hadiah RM500. Bagi pihak penganjur, sambutan pada tahun ini dianggap antara yang paling memberangsangkan.

Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed menyifatkan kehadiran hampir 500 peserta dari seluruh negara sebagai bukti bahawa pertandingan memancing masih menjadi acara yang dinanti ramai, khususnya dalam suasana santai dan kekeluargaan di kampus UPM.

“Tahun hadapan, sempena ulang tahun ke-50 Konvokesyen UPM 2026, kami merancang untuk anjurkan pertandingan secara lebih besar dan meriah bersama rakan strategik kami, Utusan Malaysia,” katanya penuh semangat.

Selain aksi pertarungan dengan ikan, suasana sepanjang pertandingan cukup meriah. Lebih 200 ekor ikan pelbagai spesies termasuk patin, baung, tilapia, jelawat dan kap berjaya dinaikkan.

Bagi sesetengah peserta, aktiviti memancing bukan sekadar memburu ikan podium, namun menjadi medan merapatkan silaturahim, berkongsi pengalaman dan melepaskan tekanan rutin harian.

Di sebalik kesederhanaan penganjurannya, Jaguh Joran UPM-Utusan Malaysia 2025 ada daya tarikan tersendiri, selain usaha daripada UPM untuk menjadikan kampus bukan sekadar pusat ilmu.

Tahniah kepada semua pemenang, dan syabas kepada UPM serta Utusan Malaysia kerana terus komited menyediakan platform sihat serta bermanfaat untuk peminat sukan memancing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN