fbpx
Farah bersama rakan-rakan pramugarinya yang tampil manis mengenakan hijab ketika bertugas.

‘Takut jika mati tidak tutup aurat’, pramugari syukur dibenarkan berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pramugari berkongsi ketakutan terbesar yang sentiasa menghantui dirinya setiap kali bertugas di awan biru iaitu sekiranya ditimpa musibah dalam keadaan auratnya belum ditutup dengan sempurna.

Menerusi perkongsian di aplikasi Thread, pramugari yang dikenali sebagai Farah Shazreen mengakui rasa takut itu semakin kuat setiap kali dia mengenakan seragam skirt ketika penerbangan ke destinasi tertentu.

“Saya selalu takut kalau terjadi apa-apa kepada saya, lepas itu orang jumpa jasad saya dalam keadaan tak menutup aurat. Perasaan ini selalunya datang bila pergi destinasi yang memerlukan saya pakai skirt.

“Sebab itu saya selalu minta penerbangan ke Jeddah dan Madinah. Tapi sekarang, alhamdulillah dah tak perlu risau sangat bila nak pergi kerja,” katanya yang bersyukur kerana dibenarkan terus berhijab ketika bertugas.

Dalam hantarannya, Farah turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan dirinya memakai pakaian seragam baharu dan mengenakan hijab.

Lebih menyentuh hati, rakan-rakan pramugari di syarikat penerbangan sama turut mengenakan hijab sejak pembaharuan tersebut diumumkan baru-baru ini.

Mengulas mengenai penghijrahannya, Farah mengakui proses beralih daripada tidak bertudung kepada bertudung bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila kerjaya masih menuntutnya memakai skirt pada peringkat awal.

Jelasnya, dia sedar masih banyak kekurangan dalam menutup aurat sepenuhnya, termasuk soal penampilan di media sosial, namun tidak berhenti berdoa memohon agar hatinya terus kuat.

“Saya tahu masih banyak kena belajar. Saya masih belum betul-betul kuat berhijab sepenuhnya dan masih tunjuk aurat di media sosial. Saya memang sukakan kecantikan luaran.

“Tapi setiap kali solat, saya doa supaya Allah kuatkan hijrah saya dan buat saya rasa cantik apabila menutup aurat. Saya juga doa mendapat kerja yang memang memerlukan saya menutup aurat,” katanya.

Tanpa disangka, katanya, doa itu dimakbulkan apabila majikannya memberi kelonggaran dan menyediakan polisi yang memudahkannya terus berhijab tanpa perlu bertukar kerjaya lain.

“Hari ini, Allah tak ubah kerja saya, tapi Dia mudahkan kerja yang sama untuk saya terus berhijab. Alhamdulillah ya Allah kerana makbulkan doa. Dan terima kasih kepada tempat kerja saya kerana permudahkan perjalanan ni,” luahnya.

Farah Shazreen antara kru wanita AirAsia yang dibenarkan memakai hijab dalam pengumuman pembaharuan dalam polisi pakaian seragam syarikat penerbangan itu.

Dalam konteks ini, pakaian seragam kru kabin AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru bertugas di laluan Jeddah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI