PETALING JAYA – Seorang warga emas terperdaya dengan video dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli ubat sakit mata kononnya dijual pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.
Pentadbir Facebook rasmi Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran Facebook berkata, nenek tua bertongkat itu datang dari Perlis ke sekolahnya di Kedah untuk membeli ubat sakit mata.
“Nenek itu beritahu dia menonton video iklan AI tersebut (dan percaya) adalah benar daripada ustaz, padahal ia palsu. Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah,” katanya.
Selain ubat sakit mata, orang ramai turut menghubungi Ustaz Wadi Annuar untuk mengadu produk seperti aprikot yang dibeli tidak sama seperti yang dipromosikan.
“Mereka terperdaya dengan video yang kelihatan seperti ustaz bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya. Teknologi AI ‘lip-sync’ digunakan agar gerakan bibir kelihatan selari dengan ucapan, menjadikan video itu nampak asli.
“Walaupun sebahagian produk itu memang wujud dan sampai ke tangan pembeli, tetapi Ustaz Wadi tidak pernah menjual atau mempromosikannya. Semua iklan itu adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, pihak Ustaz Wadi Annuar menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak sumber rasmi sebelum mempercayai sebarang iklan agar tidak terperdaya.
“Kepada pihak yang membuat ‘scam’ (penipuan) ini, ingatlah menipu orang lain tidak mendatangkan kebaikan dan keberkatan. Hentikan perbuatan ini dan gunakan tenaga untuk perkara yang bermanfaat.
“Semoga kita semua belajar daripada kejadian ini dan lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














