fbpx
Peserta dari Universiti Malaya memenangi tempat Johan PMPA 2025 di USIM baru-baru ini.

Kepakaran undang-undang angkasa perlu diperkukuh elak ancaman keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kepakaran undang-undang angkasa perlu diperkukuhkan ekoran terdapat peningkatan aktiviti dalam satelit global dan cabarannya seperti orbital congestion.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ruziah Shafei berkata, undang-undang angkasa bukan lagi bidang teori, tetapi menjadi keperluan keselamatan negara dan global.

“Negara yang tidak memahami tanggungjawab antarabangsa ini berisiko berhadapan liabiliti besar dan ancaman keselamatan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA 2025) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Program julung kali anjuran MOSTI dengan kerjasama USIM dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu menghimpunkan peserta daripada universiti, industri dan agensi kerajaan bagi memperkukuh pemahaman mengenai perundangan angkasa yang semakin kritikal selaras perkembangan teknologi global.

Sebanyak 12 pasukan daripada sembilan Institusi Pengajian Tinggi telah menyertai pertandingan tersebut

Acara itu seiring dengan mandat USIM sebagai pusat rujukan undang-undang sivil dan syariah, yang mana PMPA 2025 mengintegrasikan pendekatan multi disiplin merangkumi aspek undang-undang, syariah, polisi dan teknologi angkasa, manakala YIM menekankan pembangunan belia, inovasi dan pendidikan teknologi masa hadapan.

Antara pengisian utama program adalah Persidangan Perundangan Angkasa Kebangsaan 2025, tiga siri webinar dan podcast ilmiah, sesi temu bual eksklusif bersama Menteri MOSTI serta penerbitan bahan digital oleh MOSTI, USIM dan YIM.

PMPA 2025 berperanan sebagai platform strategik melahirkan Peguam Angkasa Masa Depan yang berupaya membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk di Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (COPUOS) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ruziah menjelaskan,  PMPA 2025 selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang mengunjurkan sumbangan satu peratus KDNK daripada industri angkasa, pembangunan 5,000 tenaga pakar dan penjenamaan Malaysia sebagai hab serantau tadbir urus angkasa.

MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa terus komited memperkukuh latihan, penyelidikan bersama universiti serta kerjasama antarabangsa dengan agensi seperti United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) dan International Institute of Space Law (IISL).

Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh pasukan Universiti Malaya (UM) dan Naib Johan di menangi oleh  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mooter Terbaik (individu) dimenangi UM manakala Memorial Terbaik dimenangi oleh  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI