BENTONG – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Bentong-Raub berhampiran simpang tiga Lemang To’Ki di sini malam semalam.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan motosikal ditunggang mangsa ketika keluar daripada simpang dirempuh sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu berlaku ketika mangsa, Tengku Aida Nazura Tengku Ahmat,26, dalam perjalanan dari Kampung Kuala Repas menghala ke Bentong manakala kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Bentong ke Raub.
“Apabila sampai di tempat kejadian semasa penunggang motosikal hendak keluar dari simpang telah dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah Bentong.
“Akibat kemalangan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pemandu kereta yang merupakan warga tempatan berusia 33 tahun ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.
“Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














