KUALA LUMPUR – Lapan buah rumah mengalami kerosakan susulan insiden tanah runtuh di Kampung Orang Asli, Batu 12, Gombak, kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu dikesan berlaku di belakang kediaman penduduk dengan anggaran keluasan 150 kaki persegi dan kedalaman 1.8 meter.
Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 7.29 malam.
“Secara keseluruhannya seramai 47 penduduk terjejas dalam kejadian itu yang terdiri daripada Orang Asli. Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggota bertugas dan pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli melakukan pemantauan di lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas.
“Pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Orang Asli Batu 12, Gombak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














