HANOI – Sebuah lubang benam terbentuk secara tiba-tiba di Jalan Nguyen Cong Tru berhampiran sebuah tapak pembinaan di pusat bandar Da Nang, Vietnam semalam, lapor portal berita VnExpress.
Kejadian menyebabkan dua kereta ‘ditelan’ lubang tersebut dan seorang lelaki cedera di kaki.
Lubang benam itu terbentuk ketika hujan lebat.
Sekumpulan jurutera dan pekerja yang sedang minum kopi berhampiran kawasan tersebut menyedari pagar kepingan logam memisahkan tapak pembinaan daripada jalan mula condong.
Salah seorang jurutera berlari untuk memeriksanya, namun jalan itu tiba-tiba runtuh, ‘menarik’ dia dan dua kereta yang diparkir ke dalam lubang.
“Jurutera itu tersepit di bawah sebuah kereta dan tidak dapat keluar,” kata pemilik sebuah kedai akuarium berdekatan.
“Sebuah kren dibawa dari tapak pembinaan untuk mengangkat kenderaan yang terjatuh dan menyelamatkan mangsa,” tambahnya.
Penduduk berkata, mereka mendengar bunyi dentuman kuat sebelum jalan runtuh.
Air daripada paip yang pecah di lokasi kejadian menghakis tanah di sekeliling, menyebabkan permukaan jalan runtuh.
Punca terperinci mendapan sedang disiasat pihak berkuasa. – AGENSI














